Preloader
ftim

PUTRAJAYA – Wanita seluruh negara dijemput mengambil peluang menyertai Festival Turath Islami Malaysia (FTIM) 2026, sebuah medan ilmu yang menghimpunkan ulama dan ilmuwan tempatan serta antarabangsa bagi mendalami khazanah keilmuan Islam.

Selepas tiga tahun dipelopori dan dibangunkan di Selangor, Festival Turath Islami kini diperkasa ke peringkat kebangsaan menerusi penganjuran bersama Kerajaan Negeri Selangor dan Kerajaan Persekutuan melalui Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

Festival yang kini dikenali sebagai Festival Turath Islami Malaysia (FTIM) 2026 berlangsung dari 13 hingga 20 September 2026 di Masjid Putra, Putrajaya.

Bertemakan “Hikmah Warisan Islam”, FTIM 2026 memberi tumpuan kepada pengajian Kitab al-Hikam al-‘Ata’iyyah, dengan penyertaan 26 tokoh ulama dan ilmuwan tempatan serta antarabangsa menerusi 45 sesi pengajian.

Antara tokoh yang terlibat termasuk Syeikh Prof. Dr. Ali Jum’ah, bekas Mufti Besar Mesir; Syeikh Prof. Dr. Sayyid Idris al-Fasi al-Fihri, Naib Rektor Universiti al-Qarawiyyin, Maghribi; Ustaz Dr. Adi Hidayat dari Indonesia; Sahibus Samahah Ahmad Fawwaz bin Fadzil, Mufti Wilayah Persekutuan; Y.A.D. Dato’ Seri Dr. Haji Anhar bin Haji Opir, Mufti Selangor serta Ustaz Wadi Annuar, Pengasas Akademi Darul Ilmi.

Wanita, luangkan masa untuk pengisian ilmu

Portal Wanita Bangkit mengajak khususnya para wanita untuk mengambil peluang menyertai festival ini sebagai ruang menambah ilmu, memperkukuh kefahaman agama dan mendekati tradisi keilmuan Islam.

Dalam kesibukan mengurus keluarga, kerjaya dan komuniti, ruang pengajian seperti ini boleh menjadi kesempatan untuk wanita berhenti seketika, mencari ilmu dan mendapatkan pengisian rohani bersama para ilmuwan.

Perpindahan festival dari Selangor ke Putrajaya juga membuka ruang kepada lebih ramai masyarakat dari seluruh negara untuk mendekati khazanah turath yang menjadi sebahagian daripada warisan intelektual Islam.

Dari Selangor ke Putrajaya, hikmah warisan ilmu terus diperluas untuk manfaat masyarakat.

ftim2
ftim3

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *