KUALA LUMPUR – Situasi jerebu yang melanda negara menimbulkan kebimbangan dalam kalangan ibu bapa, khususnya golongan ibu yang perlu memastikan keselamatan dan kesihatan anak-anak terus terpelihara. Menurut Menteri Pendidikan, YB Datuk Seri Fadhlina Sidek, Menteri Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sedang menyelaraskan tatacara pengoperasian sekolah berpandukan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan (PTJK) bagi memastikan keputusan dibuat secara lebih teratur berdasarkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) dan nasihat kesihatan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Menurut beliau, aktiviti luar bilik darjah akan ditangguhkan apabila bacaan IPU melebihi 100, manakala penutupan sekolah dilaksanakan apabila bacaan IPU melebihi 200, selaras dengan ketetapan yang dinyatakan dalam pelan berkenaan. Pendekatan ini mengambil kira perubahan bacaan IPU yang boleh berlaku dalam tempoh singkat, di samping memastikan kesihatan murid dan kelangsungan pembelajaran mereka terus diberikan perhatian. Fadhlina turut memahami kebimbangan ibu bapa terhadap kesihatan anak-anak ketika jerebu, khususnya mereka yang mempunyai masalah kesihatan atau lebih sensitif terhadap pencemaran udara. Ibu bapa yang bimbang terhadap kesihatan dan keselamatan anak-anak dibenarkan untuk tidak menghantar mereka ke sekolah sepanjang tempoh jerebu dengan memaklumkan perkara tersebut kepada pihak sekolah. Dalam menghadapi keadaan ini, ibu bapa disaran sentiasa mengikuti perkembangan bacaan IPU, mengehadkan aktiviti luar dan mengambil langkah pencegahan berdasarkan nasihat pihak kesihatan. Wanita Bangkit melihat isu jerebu sebagai perkara yang memerlukan perhatian bersama kerana kesannya bukan sahaja terhadap kesihatan, malah turut melibatkan kesejahteraan keluarga dan pendidikan anak-anak. Kerjasama antara ibu bapa, pihak sekolah dan agensi kerajaan penting bagi memastikan keputusan berkaitan pengoperasian sekolah mengambil kira keselamatan murid tanpa mengabaikan kepentingan pembelajaran mereka. Kesihatan anak-anak mesti menjadi keutamaan. Dalam menghadapi jerebu, kepekaan ibu bapa, tindakan berasaskan maklumat yang tepat dan kerjasama semua pihak amat penting demi melindungi keluarga. Navigasi kiriman Jerebu Ancam Kesihatan, Kaum Ibu Perlu Utamakan Keselamatan Keluarga Jerebu: KKM Nasihat Orang Ramai Kurangkan Aktiviti Luar