KUALA LUMPUR – Kesedaran mengenai kanser payudara tidak seharusnya terhenti pada kempen semata-mata, sebaliknya perlu diterjemahkan melalui tindakan proaktif, termasuk mendapatkan maklumat kesihatan dan menjalani saringan awal yang bersesuaian. Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, usaha meningkatkan kesedaran dalam kalangan wanita amat penting bagi menggalakkan mereka lebih peka terhadap kesihatan diri serta mengambil langkah sewajarnya dalam mengesan risiko penyakit. Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menyatakan sokongan penuh beliau terhadap Pink ESG Wellness Campaign 2026 dan juga merupakan Bulan Kesedaran Kanser Payudara, dengan tema “Beyond Awareness, Take Action”. Menurut beliau, pembangunan negara bukan sahaja bergantung pada kemajuan ekonomi, penyelidikan dan teknologi, malah perlu disertai keprihatinan terhadap kesihatan, maruah serta kesejahteraan sosial rakyat, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI. Beliau turut menghargai keberanian para pejuang kanser yang berkongsi pengalaman mereka, sekali gus membantu meningkatkan pemahaman masyarakat terhadap cabaran yang dihadapi pesakit dan keluarga. Kempen tersebut turut dihadiri Profesor Dr Nor’Azim Mohd Yunos, Timbalan Ketua Pengarah Klinikal (Surgikal) Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM); Datin Paduka Chew Mei Fun, mantan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat; Profesor Dr See Mee Hoong, Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Pink ESG Wellness Campaign 2026; serta Dato’ Joyce Yap, Ketua Pegawai Eksekutif Pavilion Group. Penghargaan turut diberikan kepada PPUM, Breast Cancer Resource Center (BCRC) dan UMMC Candy Girls Breast Cancer Support Group atas komitmen menjayakan kempen berkenaan. Ujar beliau lagi, usaha memperkukuh kesedaran kesihatan perlu diteruskan melalui pendidikan, sokongan masyarakat dan galakan mendapatkan pemeriksaan yang bersesuaian agar lebih ramai wanita mengambil berat tentang kesejahteraan diri. Kempen seumpama ini merupakan platform penting untuk memperluas pendidikan kesihatan dan memupuk budaya pencegahan dalam kalangan masyarakat Navigasi kiriman Jerebu: KKM Nasihat Orang Ramai Kurangkan Aktiviti Luar YB Datuk Julita Majungki Turun Padang