Preloader
1000691011

KUALA LUMPUR – Semangat cintakan negara terus disemarakkan apabila Persatuan HebatNita Wilayah Kuala Lumpur (HebatNita WPKL) mengadakan program edaran Jalur Gemilang kepada orang ramai di sekitar Ibukota.

Program tersebut bertujuan menyemarakkan sambutan Bulan Kebangsaan serta menggalakkan masyarakat menzahirkan rasa bangga dan kecintaan terhadap Malaysia.Turut hadir ialah Presiden Persatuan HebatNita Malaysia (HebatNita Malaysia), Azhana Ismail, yang bersama-sama menyantuni ahli HebatNita WPKL dan orang ramai sepanjang program berlangsung.

Menurut Pengerusi HebatNita WPKL, Datuk Rachiwa Kedel, edaran Jalur Gemilang membawa mesej penting mengenai kecintaan terhadap tanah air.“Jalur Gemilang adalah lambang identiti dan maruah kita sebagai rakyat Malaysia.

Walaupun sekadar menghulurkan sebuah bendera, kita sebenarnya sedang menyampaikan mesej bahawa semangat cintakan negara perlu terus hidup dalam setiap jiwa rakyat,” katanya.Sementara itu, Azhana Ismail berkata semangat patriotisme tidak seharusnya hanya dirasai ketika Bulan Kebangsaan, sebaliknya perlu diterapkan dalam kehidupan masyarakat.“Kecintaan kepada negara bukan hanya dengan mengibarkan Jalur Gemilang, tetapi juga dengan membina masyarakat yang bersatu, saling menghormati dan memainkan peranan masing-masing untuk menjadikan Malaysia lebih baik,” katanya.

Menariknya, program tersebut turut mendapat perhatian ramai pengunjung dari luar negara yang berada di sekitar Pavilion. Mereka dilihat mendekati ahli HebatNita WPKL untuk mendapatkan Jalur Gemilang dan tidak melepaskan peluang bergambar bersama bendera Malaysia sebagai kenangan.Situasi itu mencipta suasana menarik apabila Jalur Gemilang bukan sahaja menjadi simbol kebanggaan rakyat Malaysia, malah turut mendapat perhatian dan penghargaan daripada pelancong antarabangsa.

HebatNita WPKL berharap program seperti ini dapat terus menyemarakkan semangat patriotisme, perpaduan dan kecintaan terhadap Malaysia.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *