Oleh : DF Shareeza
JEREBU MAKIN MEMBIMBANGKAN, SEKOLAH WAJIB UTAMAKAN KESELAMATAN MURID
KUALA LUMPUR: Keselamatan dan kesihatan murid perlu menjadi keutamaan ketika beberapa kawasan negara kini berdepan keadaan jerebu, dengan sekolah yang mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 200 diarahkan untuk ditutup serta-merta.
Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, ketetapan itu adalah sebahagian daripada langkah perlindungan yang digariskan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi memastikan murid tidak terdedah kepada risiko kesihatan akibat pencemaran udara.
Menurutnya, sekolah juga perlu mengambil tindakan awal apabila bacaan IPU melebihi 100 dengan menghentikan semua aktiviti luar bilik darjah.
“Jerebu sedang melanda beberapa kawasan dan bacaan IPU di beberapa lokasi mula mencatatkan paras tidak sihat. Keselamatan anak-anak mesti kita dahulukan,” katanya menerusi hantaran di media sosial hari ini.
Fadhlina turut menggesa pihak pengurusan sekolah supaya tidak mengambil mudah keadaan semasa dan sentiasa memantau bacaan IPU dari semasa ke semasa.
Tindakan sewajarnya, katanya, perlu diambil mengikut tahap bacaan IPU serta garis panduan yang telah ditetapkan KPM.
“Jaga diri dan anak-anak kita,” katanya.
Wanita Bangkit menekankan bahawa ketika jerebu melanda, perhatian bukan sahaja perlu diberikan kepada pembelajaran, tetapi juga kesihatan dan kesejahteraan anak-anak. Keselamatan mereka harus sentiasa menjadi perkara pertama yang dipertimbangkan.