Preloader
image

PERAK – Program Townhall 3.0 anjuran Kesepakatan Wanita Tanah Air (K.I.T.A.) menjadi wadah yang menghimpunkan kepimpinan wanita daripada pelbagai parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi memperkukuh kesepakatan serta mengangkat agenda wanita, khususnya dalam aspek ekonomi.

Pengerusi Kesepakatan Wanita Tanah Air (K.I.T.A.), Puan Hajah Bibi Sunita, berkata platform K.I.T.A. menggabungkan kepimpinan sayap-sayap wanita daripada pelbagai parti politik serta kepimpinan NGO wanita dalam satu jaringan kerjasama.

Antara yang terlibat termasuk Dewan Muslimat PAS Pusat (DMPP), Srikandi BERSATU, BERJASA, Pejuanita, Iman, Putra dan Wawasan, selain NGO wanita seperti Negarawati Tanahair, PPIM, Skuad Qaseh, MyHawa, Jasnita, Wania Negeri Johor serta Persatuan Dunia Seni Silat Malaysia (DSSM).

Townhall kali ini turut menyaksikan penyertaan kira-kira 500 delegasi, sekali gus membuka ruang kepada wanita daripada pelbagai latar belakang untuk berkongsi pandangan, pengalaman dan aspirasi berkaitan pembangunan wanita serta ekonomi.

Bagi Townhall 3.0 Zon Utara, Bibi Sunita bersama pasukan NGO Negarawati Tanahair, termasuk Kak Hariyati Chi Is, Puan Tun Fiqa Mohammad, Puan Muniraa Abu Bakar dan Kaklong Farhana Yahya, diberi amanah untuk mengetuai program bagi Kluster Ekonomi.

Menurut Bibi Sunita, fokus kepada kluster ekonomi amat penting dalam memastikan wanita terus mempunyai akses kepada peluang, ilmu dan jaringan yang dapat membantu memperkukuh kedudukan ekonomi mereka.

Sementara itu, Pengerusi Cawangan Utara Zon Satu Pulau Pinang, Negarawati Tanahair, Emma Hj Shariff, menyifatkan penyertaan dalam Townhall K.I.T.A. 3.0 sebagai satu pengalaman yang cukup bermakna, khususnya dalam membina jaringan antara wanita dari empat negeri Zon Utara.

“Townhall ini bukan sekadar ruang untuk kita hadir dan mendengar, tetapi menjadi medan untuk kita saling mengenali, berkongsi pengalaman dan membina jaringan yang lebih kukuh antara wanita,” katanya.

Menurut Emma, pertemuan yang menghimpunkan wanita dari Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak turut membuka peluang untuk memahami pelbagai perspektif serta cabaran yang dihadapi wanita di setiap negeri.

Beliau berkata, semangat kesepakatan yang dibina melalui platform seperti K.I.T.A. wajar diteruskan agar jaringan yang terjalin tidak terhenti selepas program, sebaliknya berkembang kepada kerjasama dan inisiatif yang memberi manfaat kepada wanita serta komuniti.

Kemuncak Townhall menyaksikan satu resolusi dan lapan tuntutan dibentangkan oleh Ustazah Nuridah, selaku Penasihat Kehormat K.I.T.A.

Menurut Bibi Sunita, pihaknya berharap Resolusi dan Lapan Tuntutan K.I.T.A. tersebut dapat diberikan perhatian sewajarnya dan turut diangkat dalam Belanjawan 2027 yang bakal dibentangkan.

Townhall K.I.T.A. 3.0 Zon Utara bukan sahaja menjadi medan perbincangan, malah mencerminkan usaha membina jaringan kerjasama rentas organisasi dalam memperkasa wanita serta mengangkat isu dan aspirasi mereka ke peringkat yang lebih luas.

Dengan penyertaan pelbagai kelompok wanita, platform K.I.T.A. terus membuka ruang kepada perkongsian pengalaman, idea dan aspirasi dalam usaha memperkukuh peranan wanita dalam pembangunan ekonomi dan masyarakat.

Daripada kesepakatan, lahir kekuatan. Daripada kekuatan, wanita melangkah lebih jauh.

image
image
image
image

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *