Preloader
img 1741

KUALA LUMPUR – Harga runcit petrol RON97 dan RON95 tanpa subsidi masing-masing mencatat penurunan sebanyak 30 sen seliter, manakala diesel tanpa subsidi turun 10 sen seliter bagi tempoh 22 hingga 28 Oktober 2026.

Menerusi pelarasan terbaharu itu, harga RON97 diturunkan kepada RM4.80 seliter, manakala RON95 tanpa subsidi kini berharga RM4.32 seliter.

Harga diesel tanpa subsidi pula turun kepada RM5.07 seliter.

Bagaimanapun, harga bahan api bersubsidi kekal tanpa perubahan, dengan RON95 di bawah inisiatif BUDI95 ditetapkan pada RM1.99 seliter, manakala petrol bersubsidi di bawah SKPS kekal pada RM2.05 seliter.

Bagi diesel, harga di bawah SKDS kekal pada RM2.15 seliter, sementara diesel di bawah BUDI Diesel ditetapkan pada RM2.10 seliter.

Pelarasan harga berkenaan didorong oleh jangkaan peningkatan bekalan minyak dari China, yang turut disokong oleh pengeluaran berterusan dari negara-negara Asia lain.

Walau bagaimanapun, paras harga minyak mentah dunia yang masih tinggi menunjukkan pasaran petroleum terus berdepan risiko gangguan bekalan susulan konflik geopolitik yang berterusan.

Dalam jangka sederhana, harga petroleum dunia dijangka kekal tidak menentu, sekali gus menjadikan perkembangan pasaran tenaga antarabangsa antara faktor yang terus mempengaruhi penetapan harga bahan api.

Kerajaan MADANI akan meneruskan pendekatan berhemah bagi melindungi rakyat daripada kesan turun naik harga petroleum dunia, di samping memastikan bekalan bahan api negara mencukupi dan terjamin.

Pelarasan harga ini berkuat kuasa mulai 22 Oktober hingga 28 Oktober 2026.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *