Preloader
1000710722

SELANGOR – Cancer Survivors Malaysia (CSM) meneruskan inisiatif kebajikan menerusi Projek Sedekah Jumaat CSM dengan menyerahkan sumbangan tunai sebanyak RM1,100 kepada keluarga Kasyaf Isa, 7, yang sedang menjalani rawatan kanser otak.

Sumbangan tersebut disampaikan dengan sokongan Puan Zuraini Kamal, Pengerusi Cancer Survivors Malaysia (CSM), sebagai sebahagian daripada usaha membantu meringankan beban keluarga Kasyaf.

Kasyaf disahkan menghidap medulloblastoma, sejenis kanser otak, dan kini menjalani rawatan di Hospital Tuanku Azizah, Kuala Lumpur.

Beliau telah menjalani sembilan daripada 11 kitaran kemoterapi, selain 30 sesi radioterapi serta pemasangan VP Shunt bagi merawat hidrosefalus.

Keadaan Kasyaf kini memerlukan penjagaan sepenuh masa. Beliau juga mengalami kesukaran untuk bercakap dan bergerak seperti kanak-kanak seusianya serta bergantung kepada susu melalui tiub hidung.

Kasyaf perlu berulang-alik ke hospital hampir setiap minggu. Keperluan harian seperti susu PediaSure dan lampin pakai buang turut memerlukan perbelanjaan berterusan.

Bapanya, Muhammad Firdaus Fasha, bekerja sebagai pembantu kafe manakala ibunya, Nurul Nadirah, merupakan suri rumah yang menjaga Kasyaf serta tiga lagi anak mereka yang masih kecil.

Sumbangan CSM diharapkan dapat membantu meringankan sedikit beban keluarga ini sepanjang Kasyaf meneruskan rawatan.

“Kanser Bukan Satu Kematian. Aku Ingin Hidup.”

Portal Wanita Bangkit mendoakan agar Kasyaf terus diberikan kekuatan, dipermudahkan segala urusan rawatan dan diberikan kesembuhan. Semoga keluarga ini terus tabah menghadapi ujian yang penuh mencabar.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *