Wanita Dibakar Dipercayai Akibat Dendam

Oleh : DF Shareeza

KUALA LUMPUR: Kes seorang wanita berusia 62 tahun yang mengalami kira-kira 50 peratus melecur selepas disimbah cecair dipercayai petrol sebelum dibakar di sebuah premis menjual nombor ramalan di Taman Pusat Kepong, kini memasuki perkembangan baharu.

Polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 59 tahun di sekitar Kepong semalam, dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian yang berlaku pada 9 Ogos lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, siasatan awal mendapati serangan berkenaan dipercayai berpunca daripada dendam peribadi yang mempunyai kaitan dengan urusan nombor ramalan.

Suspek dan mangsa dipercayai saling mengenali, namun kedua-duanya tidak mempunyai hubungan kekeluargaan.

Suspek dijangka direman bagi membantu polis menjalankan siasatan lanjut termasuk mengenal pasti punca sebenar perselisihan dan bagaimana serangan tersebut berlaku.

Mangsa yang bekerja sebagai penjaga kaunter premis berkenaan masih menerima rawatan di hospital. Keadaannya dilaporkan serius dan beliau kini ditidurkan bagi membolehkan rawatan diteruskan.

Kejadian itu dipercayai berlaku sekitar jam 8 pagi selepas seorang lelaki menyerang mangsa di premis berkenaan. Cecair dipercayai petrol disimbah ke arah mangsa sebelum api dinyalakan.

Insiden tersebut bukan sahaja mengakibatkan kecederaan fizikal yang serius, malah mencetuskan kebimbangan terhadap keselamatan wanita yang bekerja di premis awam.

Kes masih dalam siasatan polis dan perkembangan lanjut berhubung keadaan mangsa serta pertuduhan terhadap suspek dijangka diketahui selepas proses reman selesai.

Wanita Bangkit mendoakan agar mangsa diberikan kekuatan dan kesembuhan, selain berharap siasatan dapat dilaksanakan secara menyeluruh bagi memastikan keadilan diberikan kepada mangsa.

Leave a Comment

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *