KUALA LUMPUR – Memasuki hari keempat pemergian Allahyarhamah Tun Dr Siti Hasmah, suasana masih diselubungi rasa dukacita apabila rakyat Malaysia terus hadir dari dekat dan jauh bagi memberikan penghormatan terakhir serta menghadiahkan doa buat Allahyarhamah. Seawal pagi, satu demi satu kenderaan tiba membawa rakyat daripada pelbagai latar belakang. Ada yang hadir selepas selesai urusan kerja, ada yang singgah sebelum memulakan tugasan, malah ada yang datang dari jauh semata-mata untuk menziarahi dan mendoakan Allahyarhamah. Mereka hadir tanpa mengira jarak dan pekerjaan daripada warga sekitar Kuala Lumpur dan Putrajaya, pekerja sektor awam dan swasta, hinggalah rakyat dari pelbagai negeri yang mengambil kesempatan untuk meluangkan masa memberikan penghormatan terakhir. Yang lebih menyentuh hati, kedatangan mereka tidak pernah benar-benar terhenti. Seawal pagi, bacaan Surah Yasin dan Al-Fatihah terus dilantunkan silih berganti oleh mereka yang hadir sebagai tanda kasih, penghormatan dan doa buat Allahyarhamah. Ada yang datang bersama keluarga. Ada yang datang seorang diri. Ada yang hanya mahu berdiri seketika, menadah tangan dan menghadiahkan doa. Namun semuanya membawa satu tujuan yang sama untuk mengenang dan mendoakan Allahyarhamah Tun Dr Siti Hasmah. Hari keempat ini memperlihatkan bagaimana pemergian Allahyarhamah meninggalkan kesan yang mendalam dalam hati masyarakat. Walaupun masa terus berjalan dan kehidupan perlu diteruskan, rasa kehilangan itu masih dirasai. Bagi mereka yang hadir, mungkin hanya beberapa minit yang dapat diluangkan. Namun setiap langkah yang diambil, setiap bacaan Yasin yang dilantunkan dan setiap Al-Fatihah yang dihadiahkan menjadi tanda kasih yang akan terus dikenang. Dari dekat mereka datang, dari jauh mereka tetap tiba. Kerana dalam sebuah kehilangan, kadangkala yang paling bermakna bukanlah panjangnya kata-kata, tetapi kesanggupan untuk hadir, mendoakan dan mengenang. Semoga segala amal kebaikan Allahyarhamah Tun Dr Siti Hasmah diterima di sisi Allah SWT dan ditempatkan dalam kalangan hamba-Nya yang beriman dan beramal soleh. Screenshot Navigasi kiriman Tun Dr Mahathir Dimasukkan ke IJN, Jalani Pemerhatian Doktor Karnival Pendidikan MADANI 2026 Perkukuh Hubungan Pendidikan dan Komuniti