SHAH ALAM – Institusi keluarga perlu terus diperkukuh sebagai asas pembentukan masyarakat yang sejahtera dan generasi yang berdaya tahan menerusi penerapan nilai kasih sayang, tanggungjawab serta pendidikan sejak di rumah. Perkara itu ditekankan Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, Pengerusi KASIH Malaysia merangkap isteri Perdana Menteri, ketika hadir dalam Wacana Kasih Keluarga MADANI yang diadakan di Shah Alam. Tema “Seimbang Keluarga, Sejahtera Negara” yang diketengahkan dalam wacana berkenaan bukan sekadar slogan, sebaliknya menjadi seruan untuk setiap keluarga menilai semula peranan dan tanggungjawab bersama dalam menghadapi cabaran kehidupan. Menurut Dr. Wan Azizah, anak-anak perlu dididik dengan ilmu, adab dan akhlak, selain ibu bapa menjadi contoh yang baik melalui amalan tanggungjawab bersama dalam menguruskan keluarga. Beliau turut menekankan kepentingan menerapkan nilai empati, membentuk good moral compass serta menyemai semangat cintakan negara dalam kalangan generasi muda. “Kita mahu melahirkan generasi yang berdaya tahan dan bertamadun tinggi untuk memimpin negara pada masa hadapan. Semua ini bermula di rumah, bermula daripada institusi keluarga kita sendiri,” katanya. Turut hadir YBhg. Datin Seri Masdiana Muhamad, Yang Dipertua PEKAWANIS; YB Puan Anfaal Saari, EXCO Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Negeri Selangor; serta YB Tuan Hj. Azli bin Yusuf, Ahli Parlimen Shah Alam. Dalam pada itu, Dr. Wan Azizah merakamkan penghargaan kepada PEKAWANIS dan Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM) atas kerjasama bersama KASIH Malaysia, rakan-rakan strategik serta semua pihak yang terlibat dalam menjayakan penganjuran wacana tersebut. Wacana Kasih Keluarga MADANI diharapkan dapat terus menjadi platform memperkukuh institusi keluarga serta meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai pentingnya membina keluarga yang seimbang, saling menyokong dan penuh kasih sayang demi kesejahteraan negara. Navigasi kiriman Dr. Mithali, Srikandi Di Sebalik Pemerkasaan Hospital Sultan Abdul Halim Simposium Inap Desa 2026: Pentas Usahawan Wanita Ketengahkan Produk Tempatan