KUALA LUMPUR – Tokoh wanita dan Presiden Pertubuhan Negarawati Tanahair (NEGARAWATI), Hajah Bibi Sunita Sakandar Khan, menjadi antara panel utama Forum Jatidiri Wanita yang berlangsung 5 September yang lepas di Anjung Wisma Sejarah, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur. Forum anjuran Wiranita Malaysia itu mengangkat tema berkaitan pembentukan jati diri wanita serta peranan wanita dalam memahami nilai agama, pendidikan, ekonomi dan asas kenegaraan. Bibi Sunita tampil sebagai panel bagi membincangkan Perlembagaan Persekutuan, satu topik yang dekat dengan perjuangan beliau dalam mengangkat kesedaran masyarakat mengenai kepentingan memahami asas-asas negara. Sebagai Presiden NEGARAWATI, Bibi Sunita sebelum ini konsisten menyuarakan pandangan mengenai kepentingan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan, institusi Raja-Raja Melayu, kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan serta Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Penglibatan beliau dalam forum berkenaan dilihat sebagai satu ruang penting untuk wanita bukan sahaja membicarakan isu keluarga dan kebajikan, malah turut memahami peranan, hak dan tanggungjawab wanita sebagai sebahagian daripada masyarakat dan pembina negara. Forum tersebut turut menampilkan Prof. Dr. Haji Amini Amir bin Abdullah bagi segmen Agama & Pendidikan serta Tuan Haji Izhar bin Abd Kahar yang membicarakan aspek Ekonomi.Bagi Bibi Sunita, pengukuhan jati diri wanita tidak seharusnya terhad kepada kekuatan peribadi semata-mata, sebaliknya perlu disertai kefahaman terhadap sejarah, nilai, perlembagaan dan tanggungjawab kepada negara. Beliau sebelum ini turut aktif membawa suara wanita dalam pelbagai isu nasional termasuk tadbir urus, integriti dan kesejahteraan masyarakat. Dalam kenyataan terbaharunya beliau menegaskan bahawa integriti perlu menjadi asas dalam kepimpinan dan bukan sekadar slogan. Wanita Bangkit melihat penglibatan tokoh seperti Bibi Sunita dalam wacana kenegaraan sebagai satu gambaran bahawa wanita mempunyai ruang dan tanggungjawab besar dalam membentuk pemikiran masyarakat serta menyumbang kepada masa depan negara. Navigasi kiriman Di Sebalik Kekuatan Seorang Wanita, Hannah Yeoh Melalui Fasa Baharu Kehidupan Suara Wanita, Nadi Pembangunan Negara